Pogba Akan Gandakan Jika Jumlah Kutipan Cecah £27,000

PEMAIN tengah Manchester United, Paul Pogba telah melancarkan sebuah tabung bagi membanteras penularan wabak Covid-19 yang kian mengancam penduduk di seluruh dunia.

Juara Piala Dunia tersebut berjanji untuk menggandakan dana tersebut sekiranya kutipan mencapai £27,000 (RM143,000).

Pogba menggunakan platform media sosial Instagram bagi menggalakkan pengikutnya menderma.

Menurutnya, wang tersebut akan digunakan untuk membeli alatan keperluan bagi kakitangan merawat penyakit Covid-19.

“Hari ini merupakan hari jadi saya. Saya bersyukur kerana saya, keluarga dan rakan-rakan masih sihat.

“Covid-19 telah menjejaskan ramai orang termasuk kanak-kanak. Kesannya sangat mendalam terutamanya bagi kanak-kanak dan orang miskin.

“Unicef dalam usahanya untuk membasmi penyebaran wabak koronavirus dengan menyediakan bekalan perubatan, berunding dengan komuniti serta melaksanakan kempen pencegahan.

“Adalah sangat penting untuk menghentikan penyebaran wabak ini dan juga penyebaran maklumat palsu yang mendatangkan rasa takut kepada orang awam,” ujar pemain itu.

Pogba berkata dana tersebut dapat membeli peralatan kepada kakitangan kesihatan seperti 333,332 pasang sarung tangan pakai buang dan 2,777 topeng muka.

WhatsApp chat