COVID 19: Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia Ditangguh

KUALA LUMPUR: Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia 2020 yang dijadualkan berlangsung di Bukit Jalil pada 25 Mac hingga 29 Mac ini ditangguhkan sementara susulan penularan virus COVID-19.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S Maniam berkata beberapa negara seperti India dan Qatar selain beberapa pengadil pertandingan dari Hong Kong serta Macau turut menarik diri daripada menyertai kejohanan itu.

“Kami telah berbincang dengan pihak pengurusan kejohanan, yang sebulat suara bersetuju untuk menangguhkan kejohanan ini, dan kami sedang mencari tarikh alternatif antara bulan Jun dan Julai, namun kami belum pasti mengenai tarikh itu memandangkan kami sendiri tidak tahu dengan situasi yang akan datang,” katanya.

Selain itu, katanya SRAM turut memantau perkembangan terkini kejohanan di luar negara khususnya melibatkan negara yang terjejas dengan penularan COVID-19.

Maniam berkata berikutan itu juga pihaknya mengambil keputusan untuk tidak menghantar pemain remaja negara untuk beraksi pada Kejohanan Remaja Asia di Qingdao, China pada 29 Jun hingga 4 Julai depan.

Kebimbangan terhadap penularan virus COVID-19, turut menyaksikan beberapa acara sukan utama termasuk perlumbaan Formula Satu (F1) GP China pada April ditangguhkan, dan terbaru Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) Qatar pada hujung minggu ini juga dibatalkan.

WhatsApp chat