Aidil Sharin: Penyesuaian Diri Di Venue Baharu Sangat Penting

Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak percaya anak buahnya perlu menyesuaikan diri dengan padang di stadium baharu skuad Harimau Selatan itu secepat mungkin memandangkan mereka belum pernah menguji keadaan di venue tersebut.

Beliau tidak menolak padang dan rumput di stadium serba canggih itu memang berbeza dan mereka perlu memastikan apa jua keadaan di venue tersebut tidak akan merencatkan pergerakan pemain.

“Hari ini kami tidak berpeluang lagi untuk menguji padang di stadium ini dan saya tidak boleh nak memberi pendapat lagi bagaimanakah agaknya keadaan rumput di situ.”

“Tetapi sudah pasti, apa jua keadaan itu, kami sendiri kena bijak menyesuaikan diri dan tiada alasan untuk pemain anggap keadaan rumput dan padang yang berlainan di stadium itu akan menjadi satu masalah kepada pasukan untuk beraksi”.

“Yang penting, saya tahu JDT mempunyai padang yang cukup berkualiti dan antara yang terbaik di Asia Tenggara dan saya mahu pemain gunakan peluang ini untuk beraksi sebaik mungkin menentang pasukan hebat seperti JDT”, ujar Aidil Sharin dalam sidang media di Stadium Sultan Ibrahim.

Pertembungan antara JDT dan Kedah akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim yang baru sahaja dirasmikan pada Sabtu lalu di mana perlawanan ini akan menjadi aksi pembuka tirai Liga Malaysia 2020.

Kali terakhir Kedah menjulang trofi Piala Sumbangsih adalah pada tahun 2017, sebelum JDT kekal sebagai juara bertahan.

Kedah layak untuk merebut Piala Sumbangsih 2020 selepas muncul juara Piala FA 2019 apabila berjaya menewaskan Perak pada aksi final hasil jaringan tunggal Mohd Fadzrul Danel bin Mohd Nizam pada masa tambahan.

WhatsApp chat