Syed Saddiq: Naik Taraf Padang SNBJ, Satu Pelaburan Berbaloi

PUCHONG: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kos kira-kira RM10 juta bagi menaik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil adalah bagi memastikan stadium itu memiliki padang yang lebih berkualiti dan tahan lama.

Katanya ia juga bagi memastikan padang stadium bersesuaian dengan cuaca di negara ini, supaya ia menjadi satu pelaburan yang berbaloi.

“Kita dapat maklum balas daripada pihak industri sukan dan rakan-rakan media bahawa ya, padang kita bagus tapi tidak terbaik jadi ia mesti kena ada standard tinggi dan kita ada berbincang dengan persatuan dan memuktamadkan untuk naik taraf padang.

“Kita nak pastikan stadium yang merupakan ‘padang rumah’ bagi Harimau Malaya dalam keadaan terbaik, tahan lama …walaupun kos tinggi, pelaburan berbaloi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Reben Kuning bagi edisi kedua di Spacerubix di sini, hari ini.

Laporan sebelum ini menyebut bahawa padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang kini menggunakan rumput ‘cow grass’ akan digantikan dengan ‘Zeon Zoysia’.

‘Zeon Zoysia’ adalah merupakan jenis rumput digunakan di stadium baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Stadium Sultan Ibrahim yang akan dilancarkan secara rasmi pada 22 Februari ini.

Selain itu, beberapa stadium di Thailand dan Stadium Nasional Singapura turut menggunakan rumput jenis ini.

WhatsApp chat