Basikal Aerodinamik Sedia ‘Berlepas’ Untuk Tokyo 2020

KERJASAMA Institut Sukan Negara (ISN) dan sebuah syarikat penyelidik Totalsim Ltd berpangkalan di Britain berjaya menghasilkan sebuah basikal trek model WX-R Vortex yang direka khas buat pelumba negara.

Menerusi proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) sejak tiga tahun lalu penghasilan basikal trek Olimpik itu sebenarnya bernilai lebih daripada RM13 juta.

Namun ia boleh didapati di pasaran mengikut syarat yang termaktub oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dengan harga RM300,000.

Pada Majlis Pelancaran Basikal Trek Olimpik di ISN hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Ramli berkata, basikal itu direka khas untuk tiga pelumba negara – Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Zonis dengan proses penyelidikan itu turut disertai oleh pegawai penyelidik ISN, Mohd Izham Mohammad dan Chee Lee Meng.

Menggunakan teknologi terkini dengan karbon dan sistem aerodinamik terbaik itu sudah berjaya menarik minat negara Lithuania dan Greece.

“Tiga tahun lalu, kami melihat kejayaan pasukan Britain. Selepas diselidik kejayaan pasukan itu maka kami bertemu dengan Totalsim.

“Kita berjaya memikat kerjasama dengan Malaysia dan ISN maka terhasillah produk pertama yang direka bentuk khas untuk pelumba negara bagi memastikan potensi yang dimiliki oleh Azizul dan pelumba yang lain dapat dioptimumkan dan digerakkan dengan bantuan teknologi sukan,” katanya.

Basikal yang dicipta mengikut kesesuaian ketiga-tiga pelumba itu memiliki ciri karbon yang lebih keras tapi ringan menggunakan teknologi aerodinamik bagi memastikan rintangan angin lebih rendah seterusnya membolehkan pelumba negara bergerak lebih laju dan pertama kali digunakan di Kejohanan Dunia di Berlin, baru-baru ini.

Azizul melakar sejarah menjadi pelumba pertama negara meraih dua pingat gangsa di kejohanan itu.

WhatsApp chat