S Kisona Mula Congak Peluang Beraksi Di Paris

KUALA LUMPUR: Selepas memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2019 di Manila, pemain perseorangan wanita negara, S Kisona memasang impian lebih besar.

Pemain berusia 21 tahun itu kini sudah mula mencongak peluang beraksi pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Bagaimanapun, dia sedar cabaran yang bakal dihadapinya bagi memburu slot ke temasya terbesar dunia itu.

Perkara pertama yang perlu dilakukannya adalah meningkatkan kedudukan rankingnya yang kini berada di tangga ke-92 dunia.

“Sukan Olimpik sememangnya menjadi impian saya namun untuk bermain pada temasya itu, saya perlu sekurang-kurangnya berada dalam kelompok 20 terbaik dunia.

“Jadi, saya perlu menggandakan usaha bagi meningkatkan prestasi saya terutama daripada aspek corak permainan saya.

“Saya perlu menunjukkan prestasi yang baik bagi bersaing dengan pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia.

“Jika saya mampu konsisten mencipta kemenangan ke atas pemain utama dunia, saya percaya ia akan memudahkan misi untuk melonjakkan kedudukan ranking saya,” kata Kisona.

Tahun lalu, pemain berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu mencetuskan fenomena apabila mengejutkan beberapa pilihan utama dalam laluannya memenangi emas di Manila.

Ia termasuklah pemain ranking ke-22 dunia, Nitchaon Jindapol dari Thailand pada aksi separuh akhir.

Pada aksi final, bintang muda negara itu yang menggantikan tempat Goh Jin Wei dalam saingan individu cemerlang apabila menumbangkan wakil Indonesia, Ruselli Hartawan.

Lebih istimewa, kejayaan itu menyaksikan dia mempertahankan emas yang dimenangi Jin Wei pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Pada Februari lalu, Kisona turut membantu skuad wanita mara ke separuh akhir Kejohanan Berpasukan Asia di Manila sekali gus layak secara merit ke Piala Uber 2020 yang dijadual bermula 3 hingga 11 Oktober depan.

Walaupun fokus utamanya memburu slot ke Sukan Olimpik, Kisona bagaimanapun turut meletakkan sasaran melakar kejayaan pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham dan Sukan Asia 2022 di Hangzhou.

“Kedua-dua temasya itu sememangnya turut berada dalam senarai yang saya mahu capai kejayaan.

“Ia adalah perjalanan yang perlu saya tempuh sebelum sampai ke Sukan Olimpik,” katanya yang tetap menjalani latihan fizikal di rumah selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik COVID-19.

WhatsApp chat