Pemain Real Madrid Dikuarantin, La Liga Tunda Semua Perlawanan
MADRID: La Liga, hari ini mengumumkan perlawanan dalam dua divisyen utama Sepanyol ditunda selama dua minggu susulan penularan COVID-19.
Pihak berkuasa La Liga membuat keputusan itu susulan pengumuman Real Madrid yang mengesahkan skuad utama kelab itu dikuarantin selepas salah seorang daripada pemain bola keranjang kelab berkenaan didapati positif COVID-19.
Pemain bola sepak Real dan bola keranjang berkongsi kemudahan yang sama di tempat latihan di Valdebebas.
“Seorang pemain daripada pasukan utama bola keranjang didapati positif COVID-19.
“Sejak itu, cadangan dibuat bagi semua pemain bola sepak dan bola keranjang dikuarantin selepas mengambil kira kedua-dua pasukan berkongsi kemudahan yang sama di Ciudad Real Madrid.
“Kami juga memutuskan untuk menutup kemudahan di tempat latihan dan menyarankan semua kakitangan yang bekerja di sana menjalani kuarantin,” kata kenyataan dikeluarkan Real.
Sementara itu, La Liga mengikut jejak langkah Serie A dengan menunda semua perlawanan selepas mengadakan mesyuarat dengan Persekutuan Bola Sepak Sepanyol dan Kesatuan Pemain Sepanyol (AFE), hari ini.
Selasa lalu, La Liga memutuskan semua perlawanan dalam dua divisyen utama diadakan secara tertutup tetapi keputusan terbaru menyaksikan semua aksi dalam tempoh 14 hari akan datang ditunda.