Bahaya ‘Pandemik COVID-19’ Mungkin Menangguhkan Liga-M
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan wabak COVID-19 yang sedang menular saban hari adalah sebagai pandemik, tengah malam tadi waktu Malaysia.
Menurut makluman daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pandemik merupakan kejadian wabak besar-besaran ke seantero dunia yang merentasi wilayah dan melibatkan populasi yang besar. Kebiasaannya melibatkan jangkitan penyakit baharu (novel).
Ciri pandemik adalah melibatkan kadar serangan yang tinggi dalam masa yang singkat. Ia melibatkan sebaran yang pantas dan menyebabkan kadar kematian yang tinggi.
Sejurus sahaja pengisytiharan COVID-19 sebagai pandemik oleh Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu sidang media, KKM menggesa semua aktiviti membabitkan kehadiran yang ramai ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan jangkitan COVID-19.
Gesaan daripada KKM turut meraih persoalan kalangan peminat bola sepak samada saingan bola sepak tempatan iaitu Liga Malaysia 2020 samada akan ditangguhkan atau diteruskan seperti dijadualkan.
Bola sepak tempatan turut menarik kehadiran penonton yang ramai ke stadium pada satu-satu masa dan ini mampu mengundang penularan wabak COVID-19 yang lebih serius.
Sebagai contoh, salah satu perlawanan ke-3 Liga Super 2020 di antara Terengganu FC dan Selangor di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang berlangsung semalam merekodkan kehadiran seramai 17,200 orang.
Sehingga kini, tiada sebarang makluman daripada penganjur liga tempatan, Malaysian Football League (MFL) setelah pengisytiharan daripada WHO dan gesaan tidak menghadiri sesuatu aktiviti melibatkan orang ramai oleh KKM.
Untuk makluman, saingan bola sepak di sekitar asia seperti Thailand antara yang pantas mengumumkan penangguhan untuk saingan Thai League (1-4) bermula 3 mac hingga 17 april 2020.
Liga No.1 Asia, J.League turut mengambil pendekatan proaktif yang sama dengan menangguhkan perlawanan dari 28 februari sehingga 14 mac bagi mengekang penularan wabak ini di negaranya.
Di eropah, antara negara yang terjejas teruk dengan wabak COVID-19 iaitu Itali telah mengambil keputusan untuk menangguhkan saingan Serie A dan ia turut melibatkan perlawanan beberapa perlawanan besar di sana.
Bagi saingan La Liga, mereka mengumumkan untuk mengadakan perlawanan tertutup, tanpa kehadiran penonton ke stadium bermula 10 mac sehingga dua minggu berikutnya.