Olimpik Tokyo: Chong Wei Ingin Tuntut Ilmu Dari Norza

KUALA LUMPUR: Datuk Lee Chong Wei mahu menuntut ilmu daripada Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria bagi mempersiapkan dirinya sebagai ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo.

Bekas jaguh badminton negara itu, berkata banyak yang boleh dipelajarinya daripada Norza berdasarkan pengalaman beliau sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selain pernah menjadi ketua kontinjen negara ke Sukan SEA 2015 di Singapura.

“Saya akui memang saya tiada pengalaman sebagai ketua kontinjen. Dulu saya atlet sepenuh masa tetapi selepas setahun bersara dilantik sebagai ketua kontinjen ke Olimpik.

“Sudah pasti banyak perkara yang saya perlu pelajari. Dalam hal ini, saya akan sentiasa dapatkan pandangan Datuk Seri Norza.

“Banyak yang saya boleh pelajari daripada pengalaman yang dimilikinya termasuklah ketika beliau menjadi ketua kontinjen ke Sukan SEA. Ketika itu, pencapaian kontinjen negara juga baik,” kata Chong Wei kepada BH Sukan.

Chong Wei yang mengumumkan persaraan pada Jun tahun lalu dilantik sebagai ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo sebagai menghargai sumbangan dan jasanya mengharumkan nama negara menerusi kejayaan yang dilakar di pentas antarabangsa.

Sukan Olimpik yang sepatutnya dijadual berlangsung Julai ini ditangguhkan selama setahun susulan pandemik COVID-19 dan hanya akan diadakan bermula 23 Julai hingga 8 Ogos 2021.

“Sehingga kini kita masih menunggu keputusan daripada persekutuan sukan dunia membabitkan pusingan kelayakan selepas banyak kejohanan ditangguhkan akibat COVID-19.

“Jadi, apabila sudah ada keputusan baru kita boleh buat perancangan yang lebih terperinci,”

WhatsApp chat