EPL: Kejam Jika Liverpool Tidak Dinobatkan Juara

PENJAGA gol Tottenham, Hugo Lloris, percaya adalah ‘kejam’ jika Liverpool dinafikan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) kerana pandemik Covid-19.

Skuad kendalian Jurgen Klopp mendahului 25 mata di puncak liga apabila saingan musim ini ditangguhkan sejak Mac lalu berikutan wabak itu.

Masih belum dapat dilihat bila atau apakah kempen Liga Perdana akan bersambung, dengan laporan baru-baru ini mencadangkan ia dapat diteruskan Jun ini.

Lloris, yang menyaksikan Spurs menduduki tangga kelapan, mahu musim ini dilengkapkan sambil mengatakan ia mungkin sangat kejam bagi Liverpool.

“Kami dalam situasi yang menyaksikan semua orang mahu menamatkan dan meraih keputusan di atas padang,” katanya.

“Ia sangat teruk sekiranya semuanya ditamatkan dengan baki sembilan perlawanan.

“Ia juga kejam buat Liverpool atas kelebihan mata yang mereka miliki. Mereka menghampiri kejuaraan.

“Seperti semua orang, akan timbul perasaan bahawa ada urusan yang masih tergantung. Di samping itu, kami sepatutnya sedang memasuki tempoh yang menggembirakan musim ini.”

Jika Liga Perdana musim ini bersambung semula, perlawanan hampir pasti diadakan tanpa kehadiran peminat berikutan Covid-19 yang menyebabkan lebih 248,000 kematian di seluruh dunia.

WhatsApp chat