JURULATIH Melaka, Zainal Abidin Hassan mahu anak buahnya terus mengekalkan tahap kecergasan masing-masing walaupun Liga Malaysia (Liga M) tidak diadakan pada tempoh terdekat.
Baginya perancangan dan jadual baharu yang disusun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mendorongnya untuk memastikan kecergasan pemainnya masih berada pada tahap terbaik jika ia disambung September depan.
Menurutnya, sebagai pemain profesional sudah pasti masing-masing memiliki keazaman tinggi untuk memastikan mental dan fizikal mereka masih berada di landasan sebenar walaupun terpaksa berehat panjang susulan pandemik Covid-19 yang melanda negara dan dunia.
Katanya, situasi seperti ini sebenarnya amat mencabar bukan sahaja kepada pemain dan pegawai pasukan malah peminat yang mahu menyaksikan saingan liga.
“Namun semuanya perlu dilalui dengan tabah dan tenang terutama dalam memastikan rantaian wabak berkenaan mampu diputuskan segera.
“Malah semua langkah yang disusun kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk kebaikan bersama dan kita perlu akur untuk membolehkan tiada yang menjadi mangsa wabak berkenaan,” katanya.
Beliau juga mengharapkan jika liga berlangsung September, ada ruang buat pasukan menjalani latihan awal bagi semua skuad bertanding.
Justeru, berdasarkan situasi semasa dia juga akan membentuk jadual latihan baharu yang sesuai sekali gus menyediakan barisan pemain yang bersedia sepenuhnya untuk bersaing kelak.
Hari ini, hasrat untuk melihat Liga Malaysia (Liga M) kembali membuka tirai lebih awal tidak menjadi kenyataan berikutan beberapa acara sukan termasuk bola sepak masih tidak dibenarkan untuk dilangsungkan.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas yang memaklumkan kesemua aktiviti sukan yang membabitkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dan lain-lain risiko jangkitan tidak dibenarkan.