Komuniti Sukan Permotoran Bimbang Akan Nasib Mereka

KUALA LUMPUR: Meskipun akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan wabak COVID-19, timbul kebimbangan dalam komuniti sukan permotoran seandainya perlumbaan tidak dapat dilangsungkan selepas sekatan berakhir.

Kebimbangan utama mereka adalah terhadap industri itu sendiri yang mempunyai kira-kira 3,000 tenaga pekerja dengan harapan disandarkan – mahu pihak kerajaan menimbangkan penyelesaian terbaik termasuk menganjurkan perlumbaan tanpa penonton.

“Kebimbangan kami adalah apakah yang akan berlaku selepas PKP. Daripada yang difahamkan, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan menyarankan tiada apa-apa acara dilangsungkan dalam tempoh enam ke 12 bulan selepas PKP.

“Dalam sukan permotoran, kami bergantung sepenuhnya kepada penaja dan sekiranya kami tidak boleh menunaikan kewajipan kepada mereka, ini akan menimbulkan kesukaran kepada kami.

“Buat masa ini, penaja masih bersama kami tetapi mungkin akan timbul masalah sekiranya kami tidak boleh beraksi (selepas PKP).

“Untuk Kejuaraan Cub Prix sendiri, terdapat kira-kira 3,000 orang terbabit dalam bentuk secara langsung dan tidak langsung,” kata Pengarah Safe Aim Mutual (SAM) yang juga penganjur Kejuaraan Cub Prix Malaysia, Ronn Hog.

Ronn mengulas tentang kebimbangan berkenaan dalam satu sidang video yang turut disertai prinsipal siri Malaysia Speed Festival (MSF), Adian Yein Khalid dan bekas pelumba Formula Satu (F1) negara, Alex Yoong bagi membincangkan kemelut dihadapi sukan permotoran tempatan.

Ketiga-tiga individu berkenaan turut sepakat untuk memohon kelonggaran penganjuran perlumbaan meskipun bakal berlangsung dalam keadaan tanpa penonton dan ia lebih bermakna berbanding bantuan kewangan.

“Sukan permotoran sering dilihat sebagai sukan orang kaya tetapi itu bukan isu utama. Ribuan yang terbabit dalam industri tempatan ini dan saya percaya tiada antara mereka ini yang kaya raya.

“(Sukan permotoran) adalah sejenis sukan tetapi ia juga membabitkan sokongan daripada pengeluar (jentera dan alat ganti), teknologi dan kejuruteraan.

“Kami (komuniti sukan permotoran tempatan) tidak memohon bantuan kewangan, kami hanya mahu ada pihak (termasuk kerajaan) dapat melihat sukan permotoran ini secara lebih terperinci supaya perlumbaan dapat berlangsung tanpa penonton dan industri dapat diteruskan,” kata Adian.

WhatsApp chat