Drogba Tawar Hospitalnya Jadi Pusat Rawatan COVID-19

BEKAS bintang bola sepak Chelsea, Didier Drogba menawarkan hospitalnya di Ivory Coast dijadikan sebagai pusat rawatan untuk pesakit Covid-19, lapor agensi berita Anadolu memetik media tempatan.

Hospital yang terletak di bandar Abidjan itu, dinamakan sempena nama pemain bola sepak Ivory Coast, Laurent Pokou, yang meninggal dunia pada 2016.

Ketua majlis serantau Abidjan, Vincent Toh Bi Irie, menzahirkan ucapan terima kasih kepada Drogba atas semangat patriotiknya kerana tawaran itu amat besar maknanya ketika negara berjuang memerangi Covid-19.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan 13 hospital di Abidjan dan 45 di negara itu akan dijadikan pusat untuk merawat pesakit Covid-19.

Sejak kes pertama dilaporkan pada 11 Mac, seramai 574 orang didiagnosis dengan penyakit itu, 85 daripadanya pulih manakala lima pesakit meninggal dunia.

Sepanjang kariernya, Drogba yang pernah beraksi dengan kelab bola sepak Chelsea, selain Galatasaray, Le Mans, Guingamp, Olympique Marseilles, Shanghai Shenhua dan Montreal Impact.

Beliau bersara pada November 2018 ketika bermain untuk pasukan AS Phoenix Rising.

WhatsApp chat