Azizulhasni Agih Makanan Kepada ‘Frontliners’ & Gelandangan

KUALA LUMPUR: Jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang membuktikan dia berjiwa besar apabila berkongsi rezeki dengan mengagihkan makanan kepada petugas barisan hadapan dan gelandangan di bandar Ipoh.

Dia yang diberi julukan sebagai ‘The Pocket Rocketman’, berkata ia adalah antara inisiatif kecil dirinya dan keluarga bagi menghulurkan bantuan susulan pandemik COVID-19 yang melanda ketika ini.

“Terima kasih kepada @warungmakanipoh yang bekerjasama dengan TeamAzizul untuk menyediakan dan mengagihkan makanan kepada petugas barisan hadapan dan gelandangan di bandar Ipoh.

“Sebak apabila melihat warga emas yang kelaparan terutama ada anak kecil yang sudah beberapa hari tidak makan. Kelihatan di situ ada seorang kanak-kanak yang juga mahu mengambil makanan untuk adiknya.

“Hanya Allah tahu perasaan saya apabila melihat situasi ini. Sesungguhnya kita harus bersyukur kepada Allah kerana kita masih cukup makan, ada tempat berteduh dan situasi kita jauh lebih baik jika dibandingkan dengan segelintir mereka yang kurang bernasib baik,” kata Azizulhasni menerusi keterangan video yang dimuat naik di Instagram miliknya.

Rakaman video itu mamaparkan pasukannya sedang mengagihkan makanan kepada gelandangan.

Dalam pada itu, Azizulhasni turut mengambil kesempatan mengajak orang ramai yang mempunyai rezeki lebih untuk turut sama menghulurkan bantuan.

“Saya mohon agar kalian menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Ada pelbagai cara dan platform di luar sana untuk kita sama-sama membantu tetapi dalam keadaan sekarang ini yang paling penting adalah #kitajagakita,” katanya.

WhatsApp chat