Pengerusi ATP Optimis Musim Tenis Bakal Bersambung Ogos Ini

PENGERUSI ATP, Andrea Gaudenzi berkata, beliau kekal optimis musim tenis kembali bersambung pada Ogos tetapi tidak menolak kemungkinan gagal diteruskan tahun ini susulan pandemik Covid-19.

“Tiada siapa tahu bila tenis kembali berlangsung dalam situasi selamat sepenuhnya: Ogos, September, November ia hanyalah andaian. Kita tak boleh menghantuk kepala ke dinding untuk sesuatu yang sukar berlaku kerana ia mungkin juga boleh bermula tahun depan,” kata Gaudenzi.

Bercakap menerusi temuramah telefon dengan media Itali di rumahnya di London, Gaudenzi berharap musim ini dapat kembali bersaing pada Ogos.

“Kami membuat 50 versi kalendar yang kerap bertukar,” katanya yang mengambil alih tugas sebagai ketua ATP pada Januari lalu.

“Saya agak optimis pada musim luruh malah mungkin musim panas,” katanya kepada blog Ubitennis blog.

“Jika kami dapat memulakannya pada Ogos, kami dapat menyelamatkan tiga Slam dan enam Masters 1000, jika tidak masalah meningkat sepuluh kali ganda.

Tenis tergendala sejak awal bulan lalu selepas Wimbledon dibatalkan kali pertama dalam sejarah dan hanya dijadualkan bersambung pada 13 Julai.

WhatsApp chat