Site icon Sukankl | Berita Sukan Terkini Hari ini

Fatehah Wira Berbasikal Negara Mengumumkan Persaraan

KUALA TERENGGANU: Pengumuman persaraan Olimpian negara dalam sukan lumba basikal trek, Fatehah Mustapa turut dirasai pelumba basikal lebuh raya negara, Anuar Manan.

Pemenang Jersi Hijau (Raja Pecut) Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010 itu berkata, persaraan atlet kelahiran Kuala Berang, Terengganu itu sudah pasti memberi tamparan buat kem negara kerana setakat ini belum ada pelumba wanita negara berjaya sehingga ke tahapnya.

Bekas pelumba pasukan Terengganu Inc Cycling Team (TSG) kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu berkata, keputusan diumumkan pelumba berusia 31 tahun itu sudah pasti mengambil kira semua aspek selain memikirkan semasak-masaknya.

Namun Anuar berkata, sebagai atlet bertaraf dunia, ilmu dan pengalaman dimiliki pelumba yang pernah beraksi di pentas tertinggi Sukan Olimpik London dan Olimpik Rio itu perlu dimanfaatkan sebaliknya termasuk boleh dicurahkan kepada generasi baharu.

“Pengumuman persaraan dibuat Fatehah perlu diterima dengan positif, mungkin dia mempunyai perancangan lebih baik dalam kehidupannya, kita tidak tahu apa difikirkannya.

“Jika diikutkan setakat ini belum ada lagi pelumba wanita Malaysia berjaya sampai ke tahapnya, ini sudah pasti merugikan pasukan negara terutama sebagai persiapan ke Sukan Asia dan Komanwel 2022.

“Tapi daripada sudut lain, mungkin pada satu masa nanti Fatehah boleh mencurahkan pengalamannya dengan melatih generasi baharu menjadi sepertinya atau lebih berjaya lagi,” kata Anuar.

Kelmarin atlet yang pernah merangkul gelaran juara Asia pada 2013 di New Delhi itu nekad mengumumkan persaraannya secara rasmi selepas menghantar surat kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

Ketika ditanya kemungkinan Fatehah akan menarik semula keputusannya untuk bersara, Anuar menyatakan dia tidak fikir pelumba itu bakal membuat pusingan ‘U’.

“Biasanya pelumba profesional tidak akan tarik balik keputusannya itu, namun jika dia kembali menyarung jersi negara pasti dialu-alukan semua pihak lagipun masih ada tempat untuknya,” kata Anuar.

Exit mobile version