SUKMA 2020 Sah Ditangguhkan Demi Jaga Keselamatan

Temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor telah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian ekoran penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda negara ketika ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma menerusi sidang video hari ini.

“Jawatankuasa Tertinggi Sukma telah membuat keputusan ini dengan mengambil kira aspek yang paling utama iaitu keselamatan dan kesihatan atlet-atlet, jurulatih, pegawai dan semua yang terlibat dalam temasya tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memberitahu, jawatankuasa tersebut juga bersetuju agar tarikh baharu Sukma Johor 2020 diputuskan pada mesyuarat yang akan datang iaitu selewat-lewatnya pada awal Mei depan.

“Mesyuarat hari ini telah mengenal pasti dua cadangan tarikh yang menjadi pilihan majoriti iaitu pada Disember 2020 ataupun dianjakkan ke tahun 2021 setelah mengambil kira beberapa perkara.

“Pertama, pemantauan berterusan perkembangan wabak Covid-19; kedua, tiada pertindihan dengan tarikh-tarikh penting yang lain seperti peperiksaan awam serta acara-acara sukan utama dan ketiga, meneliti dan mengambil kira kepentingan semua pemegang taruh Sukma Johor 2020 khususnya Johor sebagai tuan rumah,” jelasnya.

Terdahulu, mesyuarat itu dihadiri semua Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang terdiri daripada 14 Exco Belia dan Sukan Negeri termasuk Johor selaku tuan rumah penganjur Sukma Johor 2020.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr Waitchalla RRV Suppiah; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli dan Sekretariat Sukma Johor 2020.

“Saya juga telah mengarahkan Ketua Pengarah MSN dengan kerjasama Sekretariat Sukma Johor untuk membuat penelitian yang komprehensif dengan mengambil kira maklum balas daripada semua pemegang taruh.

“Ia merangkumi aspek-aspek kelayakan dan persiapan atlet, implikasi ke atas aktiviti promosi, pemasaran, program-program pra-Sukma, penajaan, penjenamaan, liputan media, persiapan logistik, kemudahan pertandingan sukan spesifik dan lain-lain aspek yang berkaitan untuk dilaporkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma akan datang,” ujarnya.

Mengikut jadual asal, penganjuran Sukma Johor 2020 bakal berlangsung dari 11 hingga 19 Julai depan.

WhatsApp chat