COVID-19: Penangguhan Liga Memberi Pelbagai Impak Buruk

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, situasi semasa akibat penularan wabak COVID-19 telah memberi kesan kepada perjalanan Liga Malaysia 2020.

Namun, pihaknya yakin segala masalah yang berkaitan mampu diselesaikan dengan kerjasama daripada FAM, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), kelab serta para pemain dan pegawai pasukan.

“Kita sedia maklum yang kelab-kelab ini mungkin berdepan masalah kewangan kerana ketiadaan perlawanan berlangsung ketika ini, sekali gus menjejaskan sumber kutipan tiket masing-masing dan pada masa yang sama perlu meneruskan juga pembayaran gaji kepada para pemain dan pegawai.

“Situasi seperti ini bukan kita minta dan tidak dapat dielakkan tetapi apabila ia berlaku, perbincangan dan persetujuan bersama adalah sesuatu yang perlu dicapai bagi memastikan kepentingan semua pihak dapat dijaga.

“Sama seperti FAM, kami di MFL sentiasa bersedia untuk dihubungi oleh mana-mana rakan kongsi liga untuk sebarang perbincangan,” ujarnya.

Beliau yang juga Presiden MFL berkata, FAM bersama-sama MFL akan mencari jalan penyelesaian berhubung situasi ini dengan pemegang taruh yang terlibat terutamanya kelab, pemain dan pegawai.

“Meskipun keputusan lanjutan penangguhan ini adalah satu keputusan sukar tetapi keputusan ini harus dibuat demi kepentingan dan keharmonian rakyat.

“FAM bersama MFL sentiasa mengutamakan rakyat dalam usaha mencegah wabak COVID-19 daripada terus menular apatah lagi kita mencatat peningkatan jangkitan di kalangan masyarakat ketika ini,” katanya menerusi kenyataan media di Facebook rasmi FAM.

WhatsApp chat