Atlet Di Melbourne Diminta Mengikut Arahan Di Negara Orang

KUMPULAN atlet Malaysia yang berada di luar negara terutamanya pasukan berbasikal yang kini di Melbourne, Australia diminta mengikut arahan pihak berkuasa di negara terbabit dalam menangani wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Nasihat itu disuarakan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang berharap tiada lagi atlet negara dijangkiti Covid-19 selepas atlet tukul besi negara, Jackie Wong didapati positif virus berkenaan.

Antara atlet yang berada di Melbourne ketika ini ialah jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang, Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Zonis serta pelumba wanita, Anis Amira Rosidi yang menjalani latihan di bawah bimbingan John Beasley di Australia.

“Secara amnya, semua (atlet negara) sudah berada di sini (dalam negara) kecuali di Melbourne.

“Mungkin mereka (atlet basikal) terus berada di Melbourne dalam keadaan kawalan kesihatan ataupun ‘self quarantine’ yang terbaik mengikut peraturan-peraturan di sana,” katanya.

Jelas Shapawi lagi, selain atlet berbasikal itu, semua atlet negara sudah pulang ke tanahair dengan yang terbaharu adalah skuad badminton yang menyertai saingan Seluruh England di Birmingham, minggu lalu.

“Untuk atlet-atlet yang di luar negara, kebanyakan hampir 90 peratus sudah pun kembali termasuk atlet badminton.

“Mereka (pasukan badminton) ketika ini sedang menjalani proses kuarintin sementara sebaik tiba di tanahair kelmarin sehingga mereka melalui ujian saringan dan juga ujian pemeriksaan yang sepatutnya,” katanya.

Sebelum ini, arena sukan tempatan digegarkan dengan kes pertama Covid-19 membabitkan atlet negara selepas Jackie disahkan positif pada Selasa lalu.

Jackie yang juga atlet tukul besi negara dipercayai dijangkiti penyakit terbabit menerusi ayahnya yang sebelum ini disahkan positif dengan kedua-duanya ketika ini sedang menjalani proses dikuarantin di Hospital Sibu, Sarawak.

WhatsApp chat