Jaguh Atlet Negara Sah Positif COVID-19

FASILITI Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) ditutup sementara selepas salah seorang atlet negara disahkan positif Covid-19.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberitahu pihaknya telah menerima laporan bahawa atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong didapati positif Covid-19.

Jelas Reezal Merican, Jackie dipercayai berjangkit daripada bapanya yang juga didapati positif Covid-19.

“Atlet tersebut kini dikuarantin di Hospital Sibu.

“Sebagai langkah segera untuk keselamatan dan kesihatan atlet-atlet pelbagai acara sukan, saya telah mengarahkan agar fasiliti MSN dan ISN yang telah dikunjungi atlet tersebut ditutup sementara untuk tujuan proses pembasmian atau sanitasi yang sepenuhnya.

“Proses ini dijangka selesai dalam masa 2-3 hari.

“Dengan kerjasama dan mengambil kira nasihat dan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), atlet-atlet, jurulatih dan pegawai yang pernah berhubung rapat (close contact) dengan atlet tersebut akan diasingkan dan telah dinasihati untuk ‘self-quarantine’ di asrama, menjalani ujian ‘screening’ dan menurut nasihat KKM yang selanjutnya,” jelas satu kenyataan kepada media.

Sebagai rekod Jackie merupakan pemegang rekod kebangsaan acara baling tukul besi dengan jarak 68.22 meter dan pemenang pingat emas pada temasya Sukan SEA 2017.

WhatsApp chat