Atlet Negara Dikuarantin 14 hari Di MSN & ISN

SEMUA atlet dan pegawai sukan yang berkampung di Majlis Sukan Negara (MSN) serta Insititut Sukan Negara (ISN) dikenakan kuarantin untuk tempoh 14 hari bermula hari ini sehingga keadaan kembali pulih atau mereka disahkan bebas daripada jangkitan Covid-19.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk SM Muthu berkata semua atlet yang merancang untuk balik kampung atau menyelesaikan sebarang urusan tidak dibenarkan berbuat demikian selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, walaupun atlet baling tukul besi negara Jackie Wong dijangkiti penyakit terbabit menerusi ayahnya yang sebelum ini disahkan positif Covid-19 namun ia tetap mencetuskan kebimbangan ia tersebar kepada atlet lain ketika dia menjalani latihan.

“Hasil daripada maklumat yang diterima, Jackie ada menggunakan beberapa kemudahan latihan di MSN dan ISN bersama atlet lain namun pihak berkaitan akan segera menangani perkara terbabit.

“Pada masa ini, tiada atlet boleh keluar dan mereka tidak dibenarkan berjumpa dengan individu lain bagi memastikan penyakit terbabit tersebar,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Sebentar tadi, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan Jackie Wong menjadi atlet pertama didapati positif Covid-19.

Jackie yang juga atlet tukul besi negara dipercayai dijangkiti penyakit terbabit menerusi ayahnya yang sebelum ini disahkan positif Covid-19.

Menerusi kenyataan media itu, Menteri KBS Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican berkata, atlet terbabit sudah pulang ke Sarawak pada 11 Mac lalu dan dikuarantin di Hospital Sibu.

WhatsApp chat