COVID-19: SUKMA Johor 2020 Tetap Diteruskan

TARIKH penganjuran temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor kekal seperti yang dijadualkan pada Julai depan biarpun berdepan ancaman wabak koronavirus (COVID-19).

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, setakat ini tiada sebarang perubahan atau penangguhan jadual penganjuran temasya sukan dwi-tahunan itu.

Namun, beliau sedia mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bagi membincangkan penganjuran Sukma dan kesan penularan COVID-19.

“Pada masa ini, tiada sebab Sukma ditangguhkan kerana penganjuran sukan itu berjalan mengikut jadual yang ditetapkan pada Julai depan.

“Saya yakin penganjuran akan mengutamakan keselamatan semua kontinjen yang turut membabitkan kerjasama Kementerian Kesihatan,” katanya pada sidang media di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Hasni berkata demikian selepas majlis penyampaian watikah jemputan rasmi Kontinjen Pahang sempena Sukma Johor kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sukma Johor kali ke-20 dijadualkan berlangsung di tiga daerah di Johor iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi dan Muar dari 11 hingga 19 Julai depan.

Sementara itu, Wan Rosdy berbesar hati dengan kunjungan Kerajaan Johor yang diwakili Menteri Besar untuk menyampaikan jemputan ke kejohanan sukan itu.

“Setakat ini, kontinjen Pahang dalam persiapan untuk melakar kejayaan dengan menyasarkan lebih 20 pingat emas,” katanya.

WhatsApp chat