Edisi kedua kejohanan pra-musim antara Kedah dan Perak, dikenali dengan nama Unity Shield akan diteruskan pada musim ini dan kali ini ianya bakal dilangsungkan di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu ini.
Kedah sudah agak lama bersedia untuk perlawanan tersebut apabila telah mengadakan sesi latihan pra-musim lebih awal kerana persediaan untuk dua perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020.
Dalam kelayakan ACL 2020 tempohari, Kedah terlebih dahulu menang ke atas wakil Hong Kong, Tai Po FC dalam pusingan kedua sebelum tunduk 1-4 kepada wakil Korea Selatan, FC Seoul di pusingan play-off.
Sementara Perak pula, baru pulang daripada Jelajah Pra-Musim di Singapura yang menyaksikan mereka menang 4-0 ke atas Geylang International FC dan terikat 1-1 menentang Balestier Khalsa FC.
Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak tetap menganggap Perak adalah pasukan yang kuat biarpun agak lewat membuat persediaan pra-musim dan perlawanan pemanas badan.
Ini kerana, menurutnya, Perak kurang membuat perubahan dalam senarai pemain mereka daripada musim lalu dan terdapat beberapa pemain berpengalaman yang mampu mengukuhkan pasukan musim ini.
Bercakap mengenai peluang Kedah untuk mengatasi Perak pada hari Sabtu, Aidil Shahrin masih berhati-hati dengan kemampuan dua pemain import Perak iaitu Careca & Leandro.
“Kita perlu berjaga-jaga terutamanya dengan Careca. Leandro pula akan ganggu mental pemain-pemain kita,” jelas pengendali berusia 42 tahun itu mengenai pemain berbahaya The Bos Gaurus nanti.
Ketika ditanya prestasi pemain-pemain import baharu, Aidil Sharin dilihat enggan memperincikan lebih mendalam, namun menyatakan yang mereka bermain baik tetapi beliau mahukan prestasi lebih baik.
Kpah Sherman dan Kipre Tchetche sudah dilihat mempamerkan sentuhan dan prestasi yang baik bersama Kedah setakat ini, namun pemain tengah, Amin Nazari dilihat belum menyerlah kemampuan sebenarnya